Sunday, August 25, 2013

Siapa Yang Menyayangi akan Disayangi


Saya benar-benar tersentuh.Air mata hampir menitis.Kata-katanya begitu singkat,namun padat dan menyentuh.Tuan Syed ( begitulah panggilan saya kepadanya ) bercerita seadanya.Perlahan,seakan-akan berbual ringan.
"Cuba ceritakan apa keistimewaan ibu Tuan Syed?"
"Semua ibu istimewa."
"Tapi saya ingin dengar kisah ibu Tuan Syed.Ya,semua ibu istimewa,tetapi keistimewaan seorang ibu dengan yang lain pasti tidak sama.
"Apa keistimewaan ibu Tuan Syed?" pinta saya seakan merayu.


"Saya teringat...."Tuan Syed mula bercerita,"Suatu hari semasa umi sangat uzur dia ingin turun tangga melihat halaman rumah.Sakitnya kian berat.Badannya lemah.Saya papah umi menuruni tangga."
Saya mendengar penuh minat.
"Tiba-tiba umi berkata,ummi risau,kalau umi meninggal nanti siapa yang akan mendoakan kamu!"
Saya tersentak.Benar-benar tersentuh.Jika sayalah di tempat ibu Tuan Syed itu mungkin kata-kata saya berbeza.Mungkin saya akan berkata begini,"Kalau umi meninggal nanti,siapalah di antara anak-anak umi yang akan doakan umi ya?" Tetapi sebaliknya bagi ibu Tuan Syed di depan saya,dia bimbang kalau tidak dapat 'memberi', manakala saya,bimbang kalau tidak dapat 'menerima'.
"Apa kesan daripada kata-kata ibu Tuan Syed?"cungkil saya.
"Semenjak itu hingga kini,selepas 5 tahun kematiannya,saya tidak pernah luput daripada mendoakannya setiap kali selepas solat lima waktu.Kata-kata itu sangat berkesan di hati saya."

Matanya mula berair.Sebak.Jiwa saya terpukul.
Ah,lalainya aku,kekadang lupa juga mendoakan ibu seusai solat lima waktu.

Kini setelah hampir sebulan perbualan itu berlalu,hati saya masih sukar memutuskan siapa yang lebih bertuah,Tuan Syed yang mendapat ibunya yang baik atau ibu Tuan Syed yang mendapat anak yang baik? Tapi hakikatnya , siapa yang menyayangi akan disayangi.Siapa yang paling tinggi kasihnya,dialah yang paling banyak memberi.Ya,kita akan lebih banyak menerima jika kita memberi bukan untuk menerima!

Nota Hati Seorang Lelaki , Pahrol Mohd.Juoi.

Friday, August 2, 2013

Semut Dengan Nabi Sulaiman


Nabi Sulaiman bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun.Semut menjawab , ia hanya perlukan makanan sebanyak sebutir buah gandum.Lalu Nabi Sulaiman memasukkan semut tersebut di dalam satu botol dengan diletakkanya gula sebesar sebutir gandum.Mulut botol itu kemudiannya ditutup.

Cukup tempoh setahun , mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman.Anehnya , baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.Nabi Sulaiman bertanya , mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebutir buah gandum?

Sang semut menjelaskan bahawa jika di luar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah SWT dan dia yakin Allah SWT pasti akan mencukupkan rezekinya.Sebab itu , dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.Tetapi apabila dikurung oleh manusia ( Nabi Sulaiman ) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan sifat perihatin manusia.Mana tahu , kalau - kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh setahun?Apa akan terjadi kepadanya?

Ertinya , semut lebih yakin kepada jaminan Allah SWT ketika di luar botol berbanding 'jaminan' manusia ketika berada di dalam botol.Untuk menghadapi kemungkinan itulah semut mengambil langkah berjimat cermat yakni dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukannya dalam masa setahun supaya jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan , dia mampu bertahan.Masih ada baki makanan yang boleh digunakan.

Moral : 
"Inilah sifat tawakal dan ikhtiar yang kita boleh pelajari dari semut.Jangan sekali-kali bergantung kepada sesama makhluk dalam soal rezeki.Bergantunglah kepada Allah SWT.Kalau ada pihak yang berkata , saya jamin bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk sekian-sekian tahun , janganlah terlalu yakin.Sebaliknya , bertawakallah kepada Allah SWT dan berikhtiarlah dengan keupayaan sendiri.Jika tidak , kita akan dikecewakan.Jadilah seperti semut itu."

Nota Hati Seorang Lelaki , Pahrol Mohd.Juoi

Sunday, July 28, 2013

Pemberi Lagi Gembira Daripada Penerima


" Mana lebih gembira , memberi hadiah atau menerima hadiah?"tanya saya kepada para peserta.
Hampir semua mengaku menerima hadiah lebih mengembirakan.
" Saya akan bercerita,dengarkan.Apabila saya habis bercerita saya pasti jawapan anda pasti berubah.
InshaALLAH!"

Saya menceritakan tentang seorang anak kecil berkali-kali berpesan kepada ibunya , agar membawa pulang hadiah yang diingininya , iaitu sebuah anak patung besar.
"Katakanlah , anda adalah ibu atau bapa kepada anak kecil itu . Anda telah meninggalkan anak anda itu selama 2 hari.Lusa anda akan kembali ke rumah.Namun sebelum pulang , anda bertekad hendak membawa pulang anak patung yang anak anda inginkan.Setelah puas mencari , akhirnya anda menemuinya . Anda membeli dan terus membawanya pulang . Bayangkan anak anda telah menunggu di hadapan pintu , sambil bersorak ria melihat anak patung di tangan anda. Baiklah , sekarang para ibu dan bapa tolong jawab , siapa agaknya lebih gembira , ibu yang memberi hadiah atau anak yang menerima hadiah?"

Kali ini jawapan berubah.Semua akur yang hati si ibu lebih gembira berbanding si anak.
Mengapa?Mengapa si ibu yang gembira sedangkan dia yang memberi?
"Jawapannya kerana si ibu memberi dengan rasa kasih sayang.Jadi , pengajarannya ialah untuk rasa gembira apabila memberi  , memberilah dengan kasih sayang."
"Sayangnya sering kita tidak gembira ketika memberi.Mengapa?"
" Memberi itu mengurangkan," jawab seorang peserta.
" Orang yang menerima tak pandai berterima kasih,"tambah peserta lain.
" Tak dak apa yang nak diberi!" sampuk yang lain.
" Tak adil , kita susah - susah mencari , dia pula senang - senang mendapat."
" Memberi tidak mengurangkan,bahkan hukama berkata , harta yang menjadi milik kita yang hakiki ialah harta yang diberi ke jalan Allah.Yang lain , kita hanya tukang simpan , bila mati harta itu kita tinggalkan,diwariskan."

Wednesday, May 1, 2013

Tetamu Hati

 

Sedar atau tidak, hati kita umpama rumah persinggahan. Tetamunya datang bersilih ganti. Tetamu-tetamu itu tidak sekadar datang dan menumpang tetapi ada yang datang dan meninggalkan sampah sarap dan kekotoran hingga hati kita tidak lagi bersih. Ruang jiwa kita menjadi berantakan, susun aturnya berubah hingga kadang-kadang kita tidak lagi menjadi diri kita. Ada juga tetamu-tetamu yang bertanggungjawab bahkan menjadikan hati kita lebih baik dari sebelumnya namun tetamu begini tidak selalu sudi bertandang ke teratak jiwa kita. Mungkin ia menunggu dijemput, tidak seperti tetamu-tetamu yang lebih suka mengambil kesempatan; duduk percuma tetapi memporak perandakan hati kita.

Ya, hati kita seringkali diziarahi KESEDIHAN dan KEPUTUS ASAAN yang setiapkali datang bertandang membawa keresahan dan keraguan. Kita tidak pernah rela dengan kunjungannya namun tetamu ini seringkali tidak sedar diri bahkan menjadikan hati kita umpama rumahnya sendiri. Puas kita mengusir barulah ia mahu keluar tetapi sampah sarap yang ditinggalkan benar-benar tidak menyelerakan hidup kita. Bukan itu saja bahkan dalam tempoh yang singkat ruang hati kita jadi berantakan sehingga hilang rupa bentuknya yang asal. Sampah sarap keresahan dan keraguan yang ditinggalkannya benar-benar membebankan jiwa kita. Kita memerlukan masa yang panjang untuk membersihkannya.

KEMARAHAN juga sering datang bertamu. Walaupun perangainya begitu kasar dan pengotor tetapi entah kenapa kita seolah-olah merelakan kedatangannya. Datangnya tidak lama tetapi ruang jiwa kita umpama ‘tongkang pecah’ bahkan ada barang-barang hiasan kita yang rosak hingga hati kita ternampak buruk dan memedihkan mata yang memandang. Kita tidak pernah suka tetapi jarang pula kita mengusirnya hingga dia sendiri yang ingin pergi. Setiapkali ia pergi kita dapati ruang hati kita penuh dengan dendam, kebencian, sakit hati dan berbagai kotoran yang begitu memedihkan dan menjadikan hati kita sesak.




Ya, kadang-kadang
KETENANGAN sudi singgah tetapi biasanya hanya seketika dan tergesa-gesa untuk pergi. Kehadirannya begitu membahagiakan. Sikapnya begitu bertanggungjawab hingga hati kita menjadi lebih baik dan indah setiapkali menerima kunjungannya. Kita tidak pernah meminta tetapi ia sering membersihkan kotoran berupa keraguan dan keresahan yang sering ditinggalkan oleh KESEDIHAN dan KEPUTUS ASAAN bahkan ia mengemas kembali hati kita yang bersepah dengan kebencian, dendam, dengki dan sebagainya yang ditinggalkan oleh KEMARAHAN. 

KETENANGAN ini bukan sombong dan benci kepada kita cuma setiapkali ia datang bertamu kita sering lupa untuk menyambutnya dengan baik. Jarang kita berterima kasih, kita hanya inginkan kebaikan yang dibawanya hingga kita lupa untuk bersyukur dan berterima kasih. Benar, terima kasih hingga ia merasa senang untuk mendiami hati kita. Kecetekan ilmu dan rendahnya kematangan kita menjadikan kita seperti kanak-kanak kecil yang rakus dan hanya inginkan 'ole-ole' yang dibawanya.


Sumber : http://my.opera.com/azmibhr/blog

Sunday, April 14, 2013

Tanpa Agama & Iman


Individu tanpa agama dan keimanan , 
Laksana sehelai bulu yang diterbangkan oleh hembusan angin , yang tentunya tidak akan tetap pada suatu keadaan dan tidak akan mengetahui arah tertentu serta tidak akan menetap pada suatu tempat.

Individu tanpa agama dan keimanan , 
Laksana manusia yang tidak ada nilainya dan akarnya , manusia yang selalu bingung dan ragu-ragu yang tidak mengetahui hakikat dirinya dan rahsia wujudnya , tidak mengetahui siapa gerangan yang memakaikan pakaian hidup ini dan kenapa dipakaikan kepadanya serta kenapa pulak kelak dilepas dari dirinya pada suatu ketika nanti.

Individu tanpa agama dan keimanan , 
Adalah binatang yang buas dan jahat , yang sentiasa menerkam. Dalam hal ini , kebudayaan dan undang-undang tidak sanggup sama sekali membatasi kejahatannya atau mempertumpul kuku-kuku cengkamannya.

Masyarakat tanpa agama dan keimanan , 
Adalah masyarakat hutan , walaupun padanya bersinar-sinar tanda-tanda kemajuan 
( kehidupan ) adalah bagi si kuat dan si kejam , bukan bagi si utama dan si taqwa ; masyarakat yang rosak binasa dan celaka , meskipun mewah dengan serbaneka kenikmatan dan kemewahan , masyarakat yang rendah dan murah kerana tujuan penghuninya hanya tertuju untuk memuaskan nafsu-nafsu syahwat dan perutnya semata  , mereka bersenang-senang dan mereka makan sepertimana binatang-binatang makan.


( Iman & Kehidupan , Dr Yusuf Al-Qordhowi ) 

Sunday, April 7, 2013

Cinta Luarbiasa


Tawanan yang diarak pun sampai ke tempat pembunuhan yang ditentukan.Sa'id bin Amir al-Jumahiy berdiri dengan tubunhya yang sasa di hadapan Khubaib.Ketika itu , beliau sedang diheret ke kayu berpalang.Said mendengar suaranya yang tenang dan utuh di celah-celah pekikan kaum wanitadan kanak-kanak , dia berkata: " Bolehkan kamu tinggalkan saya rukuk dua kali solat sebelum saya mati.."

Kemudian beliau melihat Khubaib menghadap kiblat lalu menunaikan solat dua rakaat.Alangkah menarik dan sempurnanya solat dua rakaat yang ditunaikan.

Setelah selesai , beliau melihat Khubaib menghadap pembesar sambil berkata : "Demi Allah! Jika tidak kerana kamu beranggapan bahawa saya memanjangkan solat kerana takut mati , nescaya saya memanjangkan solat saya."

Kemudian , beliau melihat dengan kedua mata kepalanya , mereka memotong anggota badan Khubaib yang masih hidup. Mereka mengerat satu demi satu sambil berkata : "Adakah kamu suka jika Muhammad menggantikan tempatmu dan kamu selamat?"

Khubaib berkata dengan darah berlumuran di seluruh tubuhnya : "Demi Allah! Saya tidak rela sekiranya saya selamat duduk bersama isteri dan anak-anak , sedang Muhammad dicucuk duri."

Orang ramai mengangkat tangan sambil menjerit : "Bunuh dia...bunuh dia..."

Sa'id bin 'Amir melihat Khubaib yang terikat di kayu berpalang mendongakkan wajahnya ke langit sambil berkata : " Wahai Allah , hitunglah bilangan mereka , hancur leburkanlah mereka dan jangan Engkau biarkan mereka walaupun seorang."

Kemudian beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.Pada tubuhnya tidak terkira berapakah tetakan pedang dan tusukan lembing yang menghujaninya.

( Petikan kisah Sa'id bin Amir al-Jumahiy , 65 Gambaran Kehidupan Sahabat , Dr Abdul Rahman Ra'fat al-Basha ) 

Monday, April 1, 2013

Jujur Itu Ada Empat


1. Sidqun Niyah
Ertinya jujur dalam niat.Jujur dalam cetusan pertama hasrat hati.Jujur dalam mengikhlaskan diri.Jujur dalam menepis syak dan riak.Jujur dalam menghapuskan sum'ah dan ujub.Jujur dalam memandang lurus ke depan tanpa mempedulikan pujian di kanan dan celaan di kiri.Jujur kepada ALLAH.Jujur dalam sangkaan pada ALLAH.Jujur dalam meneguhkan hati.

2. Sidqun 'Azm
Ertinya jujur dalam tekad.Jujur dalam keberanian.Jujur dalam janji-janji kepada ALLAH dan diri.Jujur dalam meletakkan sasaran diri.Jujur dalam pekik semangat.Jujur dalam setiap kali mendapat motvasi.Jujur dalam mengaktifkan potensi diri.Jujur dalam memikirkan langkah-langkah yang pasti.Jujur dalam memantapkan jiwa.

3. Sidqun Iltizam
Ertinya benar dalam komitmen.Jujur dalam menetapkan rancangan.Jujur dalam mengekalkan semangat dan tekad.Jujur dalam memegang teguh nilai-nilai.Jujur dalam dalam memaksa diri.Jujur dalam bersabar atas ujian dan gangguan.Jujur dalam menghadapi tentangan dan ancaman.Jujur dalam terus-menerus zikir , fikir dan usaha.

4. Sidqun 'Amal
Ertinya jujur dalam proses kerja.Jujur dalam melakukan segalanya tanpa melanggar batasan Ilahi.Jujur dalam perbuatan.Jujur dalam langkah-langkah yang ditempuh.Jujur dalam profesionalisme dan ihsannya amal.Jujur dalam tiap gerak anggota badan.

( Ulasan Ust.Said Hawa dalam buku Tazkiyatun Nafs dari 
kitab Ihya Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali )

Pernah Rasulullah bersabda :
" Sekiranya dia jujur dengan ALLAH,pasti ALLAH penuhi kata-katanya."


Copyright by Satu Pilihan

Related Posts with Thumbnails