Tuesday, December 24, 2013

Selamat Pendek Umur


"Selamat pendek umur."saya bergurau.
Sahabat saya agak tersentak,namun tetap senyum.Dia faham,saya hanya bergurau.
"Kenapa pula?"tanyanya.Dia kelihatan ceria.Hari ini ulang tahun kelahirannya.Saya meraikan dia dengan belanja makan di restoran berhampiran tempat kami bekerja.
"Yalah,bukankah tarikh mati telah Allah tetapkan di dalam rahim ibu lagi.Ertinya,semakin hari,semakin dekat langkah kita menuju ketetapan itu."
"Makna,semakin hari semakin pendeklah umur kita?"tingkahnya penuh pengertian.
"Ya,hari ini setapak lagi kita dekat dengan kematian.:
"Pelik , selalunya hari lahir orang bercakap tentang hidup.Tentang kejayaan.Tentang pencapaian.Sekarang kita bercakap tentang kematian pula."
"Siapa yang tidak bercakap tentang mati , akan 'mati' , " balas saya.
"Kenapa pula?"
"Hukama berkata , sesiapa yang tidak tahu untuk apa dia akan mati,maka dia tidak layak untuk hidup!"
"Untuk apa kita mati?"
"Untuk hidup," kilas saya lagi , sekadar bermain kata , bersilat bahasa untuk meninggikan makna.
Dia diam.Menung dan alam fikirnya telah terusik barangkali.

"Mati untuk hidup?"
"Ya , mati bukanlah suatu pengakhiran tetapi hanya suatu permulaan."
"Suatu permulaan?Maksud kau?"
"Mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi - alam akhirat.Kau masih ingat kata-kata Umar Ibn Aziz yang aku sering ungkapkan dulu?"
"Umar berkata , manusia diciptakan untuk hidup selamanya.Hidup selepas mati  itulah hidup yang hakiki!"
Terkesima dia.Jari-jarinya mule menepuk-nepuk meja.Perlahan.Tetapi saya yakin gerakan mindanya makin laju.Dia biasa begitu.

"Jadi , hidup ini untuk mati dan mati itu untuk hidup?"
Wah , saya pula yang terkejut mendengar liuk lentok bahasanya.Berputar-putar seputar maknanya.
"Ya,hidup di sini , di dunia ini , adalah tanaman untuk tuaian pada hidup di sana , di akhirat.Itulah tujuan hidup yang fana ini , demi kelangsungan hidup yang baqa itu."
"Jika demikian apa ada pada umur?"
"Umur hanyalah pada putaran suria , purnama dan buana yang dilakarkan oleh jarum jam , minit dan saat sebuah arloji,"balas saya.Seronok sekali-sekala , berbual dengan bahasa yang berbunga disulam kosa kata yang berputik dan berbuah.


"Maksudnya kita abadi?"
"Ya , tapi bukan abadi seperti Khalik yang tidak ada permulaan dan tidak ada pengakhiran.Kita tetap makhluk."
"Jika demikian , umur itu relatif juga kan?"
"Ya,kan Einstein pun fahamnya begitu?Masih ingat Teori Relativiti masa?"
"Panjang dan pendek umur bukan pada kuantiti tapi pada kualiti."
"Juga bukan pada yang zahir tapi juga pada maknawi."
Semakin rencam perbincangan kami.Tidak mengapa,sekali sekala apa salahnya,berfalsafah kekadang lebih indah.

"Imam Nawawi , pendek umurnya tetapi 'panjang' ilmu dan abadi jasanya.Imam Syafi'i , Imam Ghazali , tidak sempat pencen istilah orang sekarang , namun impak perjuangan mereka melangkaui dekad dan abad,"tambahnya memberi contoh.
"Umar Ibn Aziz memerintah hanya kurang lebih 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya , " sambungnya lagi.
"Rupa-rupanya petua nak panjangkan umur ialah dengan panjangkan amal , panjangkan ilmu , panjangkan jasa,"kata saya seakan merumuskan.

"Harta boleh panjangkan umur...sedekah atau wakafkan,jadilah amal jariah.Pahalanya berterusan.Akhlak boleh panjangkan umur...hubungkan silaturahim, panjanglah umur kita.Demikian maksud hadis."

Nota Hati Seorang Lelaki , Pahrol Mohd.Juoi

No comments:

Post a Comment

Copyright by Satu Pilihan

Related Posts with Thumbnails