Sunday, September 15, 2013

Berkorban Atau Terkorban?

Untuk menyayangi orang lain , kita perlu meyayangi diri sendiri terlebih dahulu.Itu hakikat yang saya cuba fahamkan kepadanya.Namun , wajahnya masih suram.Ibu lewat tiga puluhan itu kelihatan lebih tua berbanding usianya.

Sejak setengah jam yang lalu , dia telah meluahkan kebimbangan hatinya kepada saya. Tentang kesihatannya yang semakin merosot.Tentang anak-anaknya yang tidak mendengar kata dan mula kurang ajar.Dan suaminya yang sudah lupa daratan.Entahlah , diam-diam , saya menyimpan simpati.Saya dapat merasai yang dia benar-benar tertekan.

"Tapi kita mesti berkorban bukan?"
"Ya,awak telah berkorban."
"Tapi masalahnya pengorbanan saya tidak dihargai.
Anak-anak tidak menghargainya,suami...uh,jauh sekali."
"Jadi awak menuntut harga pengorbanan itu?"
"Saya cuma minta dihargai."
"Itulah harga yang paling mahal sekali."
"Bersedialah untuk tidak dihargai."
"Mengapa?"
"Hakikatnya ramai manusia yang tidak pandai berterima kasih.Kita akan menjadi orang yang sakit jiwa jika mengharapkan terima kasih daripada orang yang kita bantu." kata saya mengulangi kata-kata Dale Carnargie dalam bukunya , Stop Worrying and Start Living.

Dia termenung.Tunduk.Tudungnya terbuai-buai ditiup angin petang.
Anak kecil di pangkuannya terus lena.
"Walaupun suami dan anak-anak sendiri?"
Saya mengangguk.
"Jadi apa yang perlu saya buat?"
"Teruskan berkorban.Walaupun anak-anak dan suami puan tidak menilai,tetapi Allah tetap menilai.Itulah ikhlas.Pengorbanan tanpa mengharapkan balasan.

"Saya letih.Entah di mana noktahnya semua ini.Membasuh , menjaga anak , mengemas rumah , memasak dan lain-lain lagi. Betul kata orang , perkahwinan itu suatu perhambaan."
"Memang satu penghambaan.Tapi buatlah kerana Allah.InshaAllah itu dikira satu penghambaan kepada Allah.Bukan kepada anak-anak dan suami.Islam membebaskan penghambaan sesama manusia."



"Tetapi saya semakin hilang upaya.Kesihatan merosot.Keceriaan tiada lagi.
Saya umpama kayu reput menanti tumbang."
"Berkorban untuk orang lain tidak semestinya mengorbankan diri sendiri,"kata saya.
"Maksud awak?"

"Untuk menyayangi orang lain kita perlu meyayangi diri sendiri terlebih dahulu.Itu yang saya tegaskan sejak tadi."
Dia menghela nafas perlahan-perlahan.Matanya sungguh sayu.
"Maksdunya , awak perlu menjaga kesihatan rohani dan jasmani demi meneruskan tugas sebagai ibu dan isteri."
"Mengapa awak berkata begitu?"
"Kerana saya lihat awak seolah-olah tidak sayangkan diri awak sekarang..."
"Saya lebih sayangkan anak-anak dan suami saya.Biar pun mereka tidak meyayangi saya."

Tidak dinafikan saya sedih mendengar luahan rasanya.Terpancar sinar ketulusan dan ketelusan daripada kata-katanya.Wajahnya yang cengkung,tubuhnya yang kurus dan tidak bertenaga itu sudah cukup buat melukiskan rona-rona calar dalam perjalanan hidupnya sebagai seorang isteri dan ibu.Saya mengambil masa yang panjang untuk membuat kiasan dan tamsilan untuk memahamkannya betapa kalau kita ingin meyayangi orang lain,kita perlu meyayangi diri sendiri terlebih dahulu.Kata saya:

"Kalau puan  biasa menaiki kapal terbang , pramugari akan memberi taklimat soal-soal keselamatan sebelum kapal terbang berlepas.Antaranya , jika kandungan oksigen berkurangan dalam kapal terbang,dan corong untuk bernafas keluar daripada bahagian atas,hendaklah kita melekapkan corong itu ke mulut kita terlebih dahulu dan bernafaslah sebelum membantu anak kecil di sebelah melekapkan corong ke mulutnya."

Dia mengikuti hujah saya dengan tenang.Satu persatu seakan dikunyahnya.Untuk menguji sejauh mana kefahamannya , saya bertanya, " Mengapa kita mesti terlebih dahulu melekapkan corong itu ke mulut kita , sebelum anak atau orang lain yang ingin kita bantu?"
Tanpa disangka-sangka dia tersenyum.
"Ya,saya faham maksudnya,hanya orang yang bernafas boleh membantu orang lain untuk bernafas."
Saya menambah ;"Jika kita sendiri sesak nafas , bagaimana kita boleh bantu orang lain untuk bernafas?"
"Ya , ya , saya faham sekarang , itulah yang dikatakan sayangi diri sendiri sebelum menyayangi orang lain."
"Ramai ibu yang terlupa hakikat itu,"tegas saya.
"Termasuk saya barangkali."


Nota Hati Seorang Lelaki , Pahrol Mohd.Juoi.

1 comment:

  1. Patut la macam pernah baca. Nata hati seorang lelaki rupanya. Ini copyright infringement ni.

    ReplyDelete

Copyright by Satu Pilihan

Related Posts with Thumbnails