Sunday, August 25, 2013

Siapa Yang Menyayangi akan Disayangi


Saya benar-benar tersentuh.Air mata hampir menitis.Kata-katanya begitu singkat,namun padat dan menyentuh.Tuan Syed ( begitulah panggilan saya kepadanya ) bercerita seadanya.Perlahan,seakan-akan berbual ringan.
"Cuba ceritakan apa keistimewaan ibu Tuan Syed?"
"Semua ibu istimewa."
"Tapi saya ingin dengar kisah ibu Tuan Syed.Ya,semua ibu istimewa,tetapi keistimewaan seorang ibu dengan yang lain pasti tidak sama.
"Apa keistimewaan ibu Tuan Syed?" pinta saya seakan merayu.


"Saya teringat...."Tuan Syed mula bercerita,"Suatu hari semasa umi sangat uzur dia ingin turun tangga melihat halaman rumah.Sakitnya kian berat.Badannya lemah.Saya papah umi menuruni tangga."
Saya mendengar penuh minat.
"Tiba-tiba umi berkata,ummi risau,kalau umi meninggal nanti siapa yang akan mendoakan kamu!"
Saya tersentak.Benar-benar tersentuh.Jika sayalah di tempat ibu Tuan Syed itu mungkin kata-kata saya berbeza.Mungkin saya akan berkata begini,"Kalau umi meninggal nanti,siapalah di antara anak-anak umi yang akan doakan umi ya?" Tetapi sebaliknya bagi ibu Tuan Syed di depan saya,dia bimbang kalau tidak dapat 'memberi', manakala saya,bimbang kalau tidak dapat 'menerima'.
"Apa kesan daripada kata-kata ibu Tuan Syed?"cungkil saya.
"Semenjak itu hingga kini,selepas 5 tahun kematiannya,saya tidak pernah luput daripada mendoakannya setiap kali selepas solat lima waktu.Kata-kata itu sangat berkesan di hati saya."

Matanya mula berair.Sebak.Jiwa saya terpukul.
Ah,lalainya aku,kekadang lupa juga mendoakan ibu seusai solat lima waktu.

Kini setelah hampir sebulan perbualan itu berlalu,hati saya masih sukar memutuskan siapa yang lebih bertuah,Tuan Syed yang mendapat ibunya yang baik atau ibu Tuan Syed yang mendapat anak yang baik? Tapi hakikatnya , siapa yang menyayangi akan disayangi.Siapa yang paling tinggi kasihnya,dialah yang paling banyak memberi.Ya,kita akan lebih banyak menerima jika kita memberi bukan untuk menerima!

Nota Hati Seorang Lelaki , Pahrol Mohd.Juoi.

No comments:

Post a Comment

Copyright by Satu Pilihan

Related Posts with Thumbnails