Sunday, July 28, 2013

Pemberi Lagi Gembira Daripada Penerima


" Mana lebih gembira , memberi hadiah atau menerima hadiah?"tanya saya kepada para peserta.
Hampir semua mengaku menerima hadiah lebih mengembirakan.
" Saya akan bercerita,dengarkan.Apabila saya habis bercerita saya pasti jawapan anda pasti berubah.
InshaALLAH!"

Saya menceritakan tentang seorang anak kecil berkali-kali berpesan kepada ibunya , agar membawa pulang hadiah yang diingininya , iaitu sebuah anak patung besar.
"Katakanlah , anda adalah ibu atau bapa kepada anak kecil itu . Anda telah meninggalkan anak anda itu selama 2 hari.Lusa anda akan kembali ke rumah.Namun sebelum pulang , anda bertekad hendak membawa pulang anak patung yang anak anda inginkan.Setelah puas mencari , akhirnya anda menemuinya . Anda membeli dan terus membawanya pulang . Bayangkan anak anda telah menunggu di hadapan pintu , sambil bersorak ria melihat anak patung di tangan anda. Baiklah , sekarang para ibu dan bapa tolong jawab , siapa agaknya lebih gembira , ibu yang memberi hadiah atau anak yang menerima hadiah?"

Kali ini jawapan berubah.Semua akur yang hati si ibu lebih gembira berbanding si anak.
Mengapa?Mengapa si ibu yang gembira sedangkan dia yang memberi?
"Jawapannya kerana si ibu memberi dengan rasa kasih sayang.Jadi , pengajarannya ialah untuk rasa gembira apabila memberi  , memberilah dengan kasih sayang."
"Sayangnya sering kita tidak gembira ketika memberi.Mengapa?"
" Memberi itu mengurangkan," jawab seorang peserta.
" Orang yang menerima tak pandai berterima kasih,"tambah peserta lain.
" Tak dak apa yang nak diberi!" sampuk yang lain.
" Tak adil , kita susah - susah mencari , dia pula senang - senang mendapat."
" Memberi tidak mengurangkan,bahkan hukama berkata , harta yang menjadi milik kita yang hakiki ialah harta yang diberi ke jalan Allah.Yang lain , kita hanya tukang simpan , bila mati harta itu kita tinggalkan,diwariskan."


"Pernah lihat anak-anak pokok sayur di batas?
Untuk tumbuh menjadi sayur yang subur , mesti sebahagian daripadanya dicabut , dibuang , untuk memberi ruang pada sebahagian yang lain tumbuh subur.Jika semua dibiarkan 
tumbuh , pertumbuhan semuanya akan terbantut.Begitulah rezeki , perlu diberi dalam bentuk zakat dan hibah,akan subur dan bersih!"tambah saya lagi.
"Kalau tak punya apa-apa , apa yang nak diberi?"tanya seorang.
"Jangan sempitkan pengertian rezeki , nanti rezeki kita sempit.Jika kita hadkan rezeki hanya pada harta , bila tak ada harta maka tidak adalah yang hendak diberi.Memberi bukan hanya dengan harta tapi dengan tenaga , pertolongan , senyuman , doa , ilmu , sangka baik , kemaafan.Siapa kata kita tak ada untuk memberi?"
" Kita dapat semua yang kita miliki adakah dengan kudrat kita atau kudrat yang dipinjamkan oleh Allah?Mata,tangan,kaki,tenaga,kesihatan yang kita gunakan untuk mencari , hakikatnya daripada Allah.Sebenarnya,tanpa kita sedari kita adalah saluran Allah untuk memberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya yang lain.Bersalah sungguh jika kita tidak memberi kerana kita seolah-olah menyekat rezeki yang Allah hendak berikan kepada orang lain."

" Kenapa sukar untuk gembira bila memberi?"
" Sekali lagi , kita memberi tanpa kasih sayang."
" Kenapa tidak kasih sayang?"
" Kasih sayang adalah buat iman.Iman dan kasih sayang lazim berlainan.Siapa yang kukuh imannya,maka teguh jugalah kasih sayangnya."
" Maknanya?"
" Memberi kerana Allah minta kita memberi.Kita memberi kerana-Nya bukan kerana harapkan balasan manusia.Jika kita memberi kerana manusia,kita akan sakit jiwa."
" Kenapa?"
" Kajian menunjukkan majoriti manusia tidak pandai berterima kasih.Jadi jika kita mengharapkan terima kasih, kita akan kecewa?"
" Adilkah selepas kita memberi kita dilupakan?"
Saya senyum.Gembira melayan pertanyaan peserta yang bertubi-tubi.
" Baiklah,adilkah setelah sekian banyak nikmat yang diberikan oleh Allah,majoriti manusia tidak bersyukur kepada-Nya?Allah sendiri menegaskan , bahawa sedikit sekali daripada hamba-Nya bersyukur."
"Dunia ini memang tidak adil."
" Tidak,manusia sendiri yang tidak adil.Manusia zalim.Kalau kita yang kerdil ini tergamak tidak memberi hanya kerana orang tidak pandai berterima kasih,cuba bayangkan Allah,yang Maha Besar , yang masih sudi memberi walaupun hamba-Nya tidak bersyukur.Siapa kita?"
" Memberilah , kerana sesiapa yang tidak memberi ertinya tidak memberi kepada dirinya sendiri!"


Nota Hati Seorang Lelaki,Pahrol Mohd.Juoi.

No comments:

Post a Comment

Copyright by Satu Pilihan

Related Posts with Thumbnails