Friday, August 2, 2013

Semut Dengan Nabi Sulaiman


Nabi Sulaiman bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun.Semut menjawab , ia hanya perlukan makanan sebanyak sebutir buah gandum.Lalu Nabi Sulaiman memasukkan semut tersebut di dalam satu botol dengan diletakkanya gula sebesar sebutir gandum.Mulut botol itu kemudiannya ditutup.

Cukup tempoh setahun , mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman.Anehnya , baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.Nabi Sulaiman bertanya , mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebutir buah gandum?

Sang semut menjelaskan bahawa jika di luar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah SWT dan dia yakin Allah SWT pasti akan mencukupkan rezekinya.Sebab itu , dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.Tetapi apabila dikurung oleh manusia ( Nabi Sulaiman ) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan sifat perihatin manusia.Mana tahu , kalau - kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh setahun?Apa akan terjadi kepadanya?

Ertinya , semut lebih yakin kepada jaminan Allah SWT ketika di luar botol berbanding 'jaminan' manusia ketika berada di dalam botol.Untuk menghadapi kemungkinan itulah semut mengambil langkah berjimat cermat yakni dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukannya dalam masa setahun supaya jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan , dia mampu bertahan.Masih ada baki makanan yang boleh digunakan.

Moral : 
"Inilah sifat tawakal dan ikhtiar yang kita boleh pelajari dari semut.Jangan sekali-kali bergantung kepada sesama makhluk dalam soal rezeki.Bergantunglah kepada Allah SWT.Kalau ada pihak yang berkata , saya jamin bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk sekian-sekian tahun , janganlah terlalu yakin.Sebaliknya , bertawakallah kepada Allah SWT dan berikhtiarlah dengan keupayaan sendiri.Jika tidak , kita akan dikecewakan.Jadilah seperti semut itu."

Nota Hati Seorang Lelaki , Pahrol Mohd.Juoi

No comments:

Post a Comment

Copyright by Satu Pilihan

Related Posts with Thumbnails